Tahniah Sekolah Rendah & Sekolah Menengah Yang Memenangi Anugerah Sayangi Sekolahku@3K & MyDMBS, Anda Semua Hebat!
Pada minggu lepas, telah diadakan Majlis Anugerah Sayangi Sekolahku@3K & MyDMBS bagi mengiktiraf usaha, kesungguhan, kesihatan dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh 235 buah sekolah di Malaysia yang menyertainya. Program ini merupakan anugerah sekolah tahunan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengiktiraf Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah bagi menambah baik kualiti sekeliling dan tahap kesihatan dengan menekankan tiga aspek utama iaitu kebersihan, kesihatan dan keselamatan. Bagi anugerah MyDMBS Ketegori sekolah rendah dimenangi oleh SK Kidurong II Sarawak dan kategori sekolah menangah pula disandang oleh SMK Saujana Utama, Selangor. Sementara itu, Anugerah Sayangi Sekolahku 3K dimenangi SK Merlimau Dua Melaka dan SMK Pasir Gudang Johor. Dutch Lady Milk Industries Berhad sekali lagi menjadi penaja utama dan rakan kongsi strategik bagi KPM untuk program yang dianjurkan ini. Menerusi perkongsian dengan KPM, program berkenaan memberikan syarikat tenusu utama ini sebuah platform ideal untuk secara berterusan menyuntik inspirasi kepada guru, pelajar sekolah dan ibu bapa mengenai kebaikan susu dan menggalakan mereka mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat serta melakukan aktiviti fizikal setiap hari. Lebih menarik lagi pada tahun ini, Dutch Lady Milk Industries Berhad memainkan peranan khusus dalam memperkenalkan elemen “Bergerak” bagi peraduan 3K & MyDMBS menerusi gerak tindak “Shuffle”. Oleh demikian, anugerah khas “Best Shuffle” telah diperkenalkan bagi mengiktiraf sekolah yang terlibat. Anugerah ini disandang oleh SJKC Chung Hua Wei Sin, Terengganu (kategori sekolah rendah) dan SMK ST. Anthony Perak (kategori sekolah menengah).