selepas bersalin
betul ke klu dah bersalin x boleh minum sejuk2? even dah berbulan bulan dah lalu? nak dkt setahun?

Fakta atau Mitos? Soalan: "Prof Imelda, betul ke ibu yang mengandung dan ibu yang menyusukan bayi tak boleh minum air sejuk atau air berais, nanti bayi dapat selsema?" Jawapan: Ini ialah MITOS Mai nak habaq. KENAPA BAYI DAPAT SELSEMA? Bayi mendapat selsema sebab jangkitan virus di hidung dan kerongkong bayi, bukan sebab ibunya minum air sejuk atau air ais. BAGAIMANA VIRUS BERJANGKIT KEPADA BAYI? Ini ialah melalui: A) Sentuhan, dari tangan orang lain yang ada virus kepada mata, hidung atau mulut bayi atau ciuman, dari orang lain yang ada virus kepada bayi. B)Udara, bila orang lain yang ada virus itu batuk atau bersin ke arah bayi. C) Permainan, yang disentuh oleh orang yang membawa virus, dan kemudian diambil oleh bayi dan dimasukkan ke dalam mulutnya. JIKA IBU MINUM AIR BERAIS, ADAKAH SUSU IBU MENJADI SEJUK? Jawapannya ialah tidak. Susu ibu yang keluar dari payudara ibu sentiasa panas. Suhu susu ibu adalah sama panas seperti suhu darah ibu sebab manusia ialah mamalia berdarah panas. Tidak kiralah ibu minum air panas atau air sejuk, susu yang ibu buat untuk bayinya tetap panas juga. Bayi akan sentiasa mendapat susu panas bila menyusu terus dari payudara ibu. APA BERLAKU KEPADA AIR AIS YANG DIMINUM? Manusia ialah mamalia berdarah panas. Suhu badan manusia telah ditetapkan di antara 36.5-37.5 C. Badan manusia akan sentiasa menjanakan haba untuk menetapkan suhu badan yang sama. Bila ibu minum air ais, air ais ini akan menyentuh permukaan panas di dalam mulut, lidah, kerongkong dan di dalam perut manusia yang panas. Bila apa-apa yang sejulk bertemu dengan apa-apa yang panas, tenaga haba akan bergerak dari permukaan panas ke arah sejuk sehingga suhu kedua-duanya menjadi seimbang. Jadi, di dalam masa 5 minit saja, haba dari permukaan badan yang panas akan memanaskan air sejuk yang diminum sehingga menjadi suhu yang sama dengan suhu badan manusia. ADAKAH AIR AIS YANG IBU MINUM TERUS MASUK KE DALAM PAYUDARA IBU? Apa yang ibu minum tidak boleh terus masuk ke dalam payudara ibu. Apa yang ibu minum akan masuk ke dalam perut ibu. Apa yang masuk ke dalam perut ibu akan menjadi suhu badan ibu dalam masa beberapa minit saja. Dari perut, makanan dan minuman dihadamkan dulu sebelum diresap ke dalam saluran darah kecil yang mengelilingi perut dan usus ibu. Khasiat di dalam susu yang dibuat oleh kilang susu di dalam payudara ibu, datangnya dari darah ibu yang ditapis dan diproses oleh kilang susu untuk menjadi susu. BAGAIMANAKAH NAK MENCEGAH BAYI DARI DAPAT SELSEMA? A) Jangan benarkan orang beramai-ramai datang melawat bayi yang baru lahir, terutama sekali jika orang lain ada selsema 😎 Jangan benarkan orang lain cium bayi. C) Bersihkan tangan selalu, terutamanya sebelum pegang bayi. D) Jika batuk dan bersin, jangan batuk atau bersin ke arah muka bayi. E) Bersihkan permainan bayi. JIKA IBU DAPAT SELSEMA, BOLEH KAH IBU MENERUSKAN PENYUSUAN BAYI? Jika bayi dapat selsema, apa yang terbaik untuk menyembuhkan bayi ialah melalui penyusuan ibu. Jika bayi ada selsema, ini bermakna bayi ada jangkitan virus. Virus itu terjangkit dari orang di sekeliling bayi itu yang membawa virus itu, bukan dari air sejuk atau air ais yang ibu minum. Sudah tentu ibu pun dah terjangkit virus yang sama dengan virus yang bayi ada, sebab ibu lah paling dekat dengan bayi, maka badan ibu akan membuat antibody melawan jangkitan virus yang menyebabkan selsema itu. Antibody dari darah ibu akan masuk ke dalam susu ibu untuk diberikan kepada bayi. Bayi akan mendapat perlindungan dari ibu melalui susu ibu. Jangan salahkan ibu dan jangan kecam ibu yang menyusukan bayi. Hakikatnya ialah ibu lah yang memberi perlindungan kepada bayi. . KENAPA BAYI DAN ANAK-ANAK KECIL LEBIH SENANG NAK DAPAT SELSEMA JIKA DIBANDINGKAN DENGAN ORANG DEWASA? Bayi dan anak-anak kecil sangat senang dijangkiti virus yang menyebabkan selsema sebab mereka tidak pernah ada immuniti untuk badannya melawan jangkitan virus ini. Tidak kira lah apa ibu makan atau minum dan tidak kira lah suhu air yang ibu minum, bayi akan senang dapat selsema juga. Sekali bayi dapat selsema, badan bayi akan membuat antibody melawan virus ini dan boleh sembuh sendiri tanpa ubat. Selepas sembuh, bayi ini tidak akan dapat selsema lagi sekali dari virus yang sama sebab badannya sudah pandai melawan virus ini. Tetapi, ada lebih dari 100 jenis virus yang boleh menyebabkan selsema, sebab inilah bayi dan kanak-kanak kecil boleh dapat selsema berkali-kali dalam setahun dari beberapa jenis virus yang berlainan. Virus yang paling kerap sekali menyebabkan selsema ialah Rhinovirus. Jika dah banyak kali mendapat selsema semasa kita kecil, bila sudah besar kita sudah immune kepada banyak virus ini dan hanya akan dapat selsema bila dewasa sekiranya dijangkiti oleh virus lain yang kita tak pernah kena jangkit bila kita kecil. Sebab inilah semakin dewasa, semakin kurang masalah selsema kepada orang dewasa bila dibandingkan dengan anak-anak kecil. APAKAH SIMTOM ATAU GEJALA SELSEMA YANG BAYI BOLEH DAPAT? Jangkitan virus itu boleh menyebabkan gejala hidung berhingus, hidung tersumbat, batuk, bersin, demam, lebih banyak menangis, lebih susah tidur dan susah nak hisap susu sebab hidung yang tersumbat. PERLUKAH AMBIL UBAT KALAU BAYI DAPAT SELSEMA? Bayi boleh sembuh dari selsema tanpa ubat tetapi kita hanya perlu membantu menurunkan suhu badan yang terlalu tinggi jika demam, bantu mengurangkan masalah hidung tersumbat untuk pernafasan yang lebih selesa. Kalau tak demam dan tiada masalah pernafasan, maka tak perlu apa-apa ubat. Teruskanlah penyusuan dengan susu ibu yang memberi bayi perlindungan supaya lebih cepat sembuh. BILA NAK BAWA BAYI JUMPA DOKTOR? Bawalah bayi anda berjumpa dengan doktor sekiranya demam, susah bernafas, ada hingus berwarna hijau, menangis dan tidak mahu minum susu, sentiasa batuk, batuk sehingga muntah. SEKIRANYA ANDA DAPAT SELSEMA, KENAPA TIDAK DIGALAKKAN MINUM AIR SEJUK SEHINGGA DAH SEMBUH DARI SELSEMA? Sebab bila kita sudah dapat selsema, sel-sel interferon dalam badan kita akan melawan virus di dalam badan. Sel-sel badan kita berfungsi dengan lebih sempurna melawan penyakit bila badan kita lebih panas. Jadi kalau dah dapat selsema, kita boleh membantu badan kita sembuh dengan lebih cepat dengan minum dan makan yang suam supaya badan kita tak perlu menjanakan lebih haba untuk memanaskan air minuman yang sejuk. Tetapi jika kita tiada selsema, kita tak boleh dapat selsema melalui minum air sejuk atau air ais, maka kita boleh minum air sejuk atau air ais. SEKIRANYA BAYI YANG MENYUSU SUSU IBU DAPAT SELSEMA, BOLEHKAH IBU MINUM AIR SEJUK ATAU AIR AIS? Jawapannya boleh. Walaupun ibu minum air sejuk atau air ais, suhu susu ibu sentiasa panas. KENAPA ADA ORANG BOLEH DAPAT BATUK-BATUK BILA MINUM AIR SEJUK WALAUPUN TAK ADA SELSEMA? Jawapannya ialah jika anda ada lebih kecenderungan untuk mendapat asthma, anda akan lebih senang terbatuk bila minum air sejuk, sebab tindakbalas badan anda ialah kekejangan saluran pernafasan yang dinamakan bronchospasm. Jika anda tiada masalah ini, maka tiada masalah minum air berais. Jika anda ada masalah ini, anda akan dengan sendirinya akan rasa tak selesa minum air sejuk dan lebih suka memilih minum air suam. Kesimpulannya: Kalau ibu nak minum air ais atau air sejuk semasa ibu hamil atau semasa menyusukan bayi, ini tidak memudaratkan kesihatan bayi. Ikut suka ibulah kalau nak minum air sejuk atau air suam atau air panas. Yang penting, orang di sekeliling ibu dan bayi janganlah merokok jika pentingkan kesihatan ibu dan kesihatan bayi. Jika anda risau tentang kesihatan bayi anda, sila bawa bayi berjumpa dengan doktor. Sekian, terimakasih Dr Imelda Balchin Professor (Clinical) KPJ University College Consultant Obstetrics & Gynaecology Subspecialist in Maternal & Fetal Medicine with special interest in preterm birth prevention MSc in Public Health Social Media Influencer for Health Advocate for Women Empowerment Founder of Cervical Insufficiency Society Malaysia Marathon runner
Baca lagi

