#TANYADRIMELDA - PENDARAHAN
Seorang wanita datang ke klinik saya sebab haidnya datang sampai 20 hari tak berhenti. Sudah beli makan jamu, dan nak cari ubat untuk menghentikan haid, dan nak tahu kenapa haid berpanjangan. Saya tanya Puan, apa yang Puan gunakan untuk merancang keluarga? Katanya tak ambil apa-apa sebab ‘trying to conceive’. Laaaa, dah buat pregnancy test ke belum? Tak buat. Saya pun terus minta air kencing untuk buat pregnancy test. Positive. Bila scan didapati sudah gugur. Nasibnya baik sebab hanya keguguran dan bukannya kehamilan di luar rahim yang boleh membahayakan nyawa. Nasihat saya untuk anda semua: 1) Jika anda trying to conceive, atau jika anda tidak menggunakan kaedah merancang keluarga yang berkesan, dan tiba-tiba dapat pendarahan yang tidak normal, langkah pertama ialah buatlah pregnancy test. 2) Jangan beli produk mengarut. Jangan cuba merawat diri sendiri. 3) Jika anda hamil dan ada pendarahan, ini bukan period. Sila terus berjumpa doktor di klinik GYNAE pada hari yang sama. Jika anda ada kesakitan dan pendarahan, dan tak boleh jumpa doktor GYNAE pada hari yang sama, sila ke KECEMASAN. Tujuan yang utama ialah untuk memastikan tiada kehamilan di luar rahim yang boleh pecah dan menggugat nyawa wanita-wanita yang hamil. Sudah ada banyak kematian ibu hamil di merata-rata negara dan merata-rata benua di seluruh dunia disebabkan oleh kehamilan di luar rahim yang pecah atau ruptured ectopic pregnancy. Sebab inilah setiap wanita yang berusia 10 hingga 50 tahun yang datang ke jabatan kecemasan dengan pendarahan dari faraj dan sakit di bahagian abdomen, langkah pertama doktor kecemasan ialah membuat ujian pregnancy test.