Tiada beza kebekesanan ubat antara hospital swasta & kerajaan
Seorang ibu hamil ada penyakit buah pinggang sebelum hamil, yang dikawal dengan baik dengan ubat-ubat Hospital yang didapatinya dari sebuah Hospital swasta. Bila hamil, penyakitnya menjadi bertambah teruk sehingga di rujuk kepada kami di Hospital Universiti. Bila saya tanya, ibu mengaku telah berhenti makan ubat selama dua bulan, katanya tidak mampu beli ubat yang mahal. Laaaa kalau tak mampu beli ubat dari Hospital swasta, awat tak datang ke hospital kerajaan? Anda akan dapat ubat yang sama dengan subsidi kerajaan. Saya tidak tahu kenapa ibu ini tidak datang ke Hospital kerajaan bila habis ubatnya, sehingga dirujuk sebab penyakit sudah teruk. Jangan berhenti makan ubat yang diperlukan untuk mengawal penyakit anda, terutama sekali bila hamil, sebab organ-organ anda terpaksa berkerja lebih kuat lagi semasa hamil untuk menyokong dua badan. Malangnya sudah terlambat untuk anak di dalam kandungan yang sudah meninggal dunia. Pagi ini pula, saya terima komen di laman saya dari seorang netizen, yang membuat kenyataan fitnah bahawa ubat Hospital swasta lebih berkesan dari ubat Hospital kerajaan. Saya tiba-tiba terimbas kembali wajah ibu yang kehilangan anak di dalam kandungan ini, dan kemudian timbul rasa marah terhadap netizen ini yang membuat kenyataan mengarut. Netizen ini pula bukannya seorang tidak berpendidikan. Seorang lawyer. Janganlah membuat kenyataan menjatuhkan reputasi perkhidmatan Hospital Malaysia jika anda tidak tahu maklumat yang sebenar. Ubat-ubatnya sama saja kesannya mungkin jenama berlainan, dan kadang-kadang kita terpaksa tukar jenis ubat sebab penyakit sudah menjadi lebih teruk dan perlukan rawatan untuk komplikasi penyakit itu pula. Untuk netizen itu, yang telah merajuk bila saya marah tentang komen dia di laman saya: Anda tidak tahu kesan anda kepada orang lain yang anda tidak kenal yang membaca kenyataan anda. Boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Sumber: FB DR. Imelda Balchin