DR IMELDA BALCHIN "Kelemahan jantung semasa hamil dan selepas bersalin (peripartum cardiomyopathy)"
Peripartum cardiomyopathy Semalam, saya bagi kuliah kepada pegawai perubatan dan pakar jantung dalam kursus ‘Heart Failure’ yang dianjurkan oleh National Heart Association Malaysia. Penyakit lemah jantung peripartum cardiomyopathy ialah heart failure yang berlaku hanya kepada ibu yang hamil atau baru bersalin. Di negara Denmark, ia berlaku kepada 1 dalam 10,000 ibu bersalin. Tetapi di negara Asia, lebih kerap lagi, 1 dalam 4000 ibu bersalin. Di negara Asia, lebih ramai ibu mempunyai risiko mendapat penyakit ini. 3 dalam 100 ibu yang mendapat penyakit ini meninggal dunia. Ibu yang meninggal dunia ialah mereka yang tidak dikenalpasti penyakitnya dari awal dan tidak menerima rawatan yang awal. Kebanyakan ibu ini memang sudah ada risiko sebelum mendapat kelemahan jantung semasa hamil, termasuklah berat badan yang obese. 50% atau separuh daripada ibu-ibu ini ada tekanan darah tinggi sebelum mendapat penyakit lemah jantung semasa hamil. Sebab itulah, saya pantau dengan rapi, ibu hamil yang ‘high risk’. Jika pam jantung ibu lemah, pengaliran darah daripada jantung ibu yang sampai kepada uri dan janin yang membesar tidak mencukupi, dan janin boleh meninggal di dalam kandungan. Dalam gambar 1, ialah contoh ibu yang telah dikenalpasti dengan masalah jantung yang tidak berfungsi dengan sempurna. Lihatlah pembesaran janin berhenti daripada minggu 29 hingga minggu 32 kehamilan. Saya nasihatkan ibu ini masuk ke dalam wad dan berikan pantauan lebih rapi dan rawatan untuk mengurangkan beban kepada jantung ibu. Matlamatnya ialah memberikan sedikit masa untuk janin menjadi lebih matang tanpa membenarkan kesihatan ibu merosot. Dalam gambar 2, pembesaran janin bermula semula selepas ibu menerima rawatan yang kami nasihatkan. Selepas bersalin, kelemahan fungsi jantung bagi 95 dalam 100 ibu akan pulih semula dalam masa 1 tahun. Kepentingan menggunakan kaedah perancang keluarga yang berkesan sangatlah penting. Yang terbaik sekali ialah kaedah susuk implant. Tidak boleh pakai maajun mengarut untuk merancang keluarga!!!! Saya bagi nasihat kepada ibu-ibu ini, tunggu sehingga jantung pulih. Turunkan berat badan ke tahap yang sihat. Kalau ada tekanan darah tinggi, ambil rawatan untuk menurunkan tekanan darah ke tahap normal supaya fungsi jantung tidak bertambah rosak. Bila fungsi jantung sudah pulih, kita buat stress test dulu, untuk mengkaji boleh kah jantung ini berkerja lebih kuat jika hamil semula. Bila lulus stress test dan fungsi jantung pulih, saya bagi nasihat, boleh hentikan kaedah perancang keluarga, dan boleh cuba hamil lagi. Jangan kata tak boleh hamil lagi kepada ibu-ibu ini. Boleh, tetapi dengan syarat fungsi jantungnya sudah pulih, ibu di pantau rapi oleh pakar Maternal Fetal Medicine dengan kerjasama pakar jantung dan pakar bius di Hospital besar. Insyallah, kami boleh bagi ibu-ibu ini sokongan untuk kehamilan yang sihat. Bila ibu ini sudah sihat, risiko penyakit lemah jantung berulang lagi pada kehamilan di masa hadapan ialah Satu dalam Tujuh ibu yang hamil semula selepas pulih. Tetapi jika penyakit mereka berulang, ia selalunya tidak seteruk penyakit yang dulu, sebab kami bagi rawatan untuk mengurangkan risiko ibu dan pantau macam burung helang! Nak jadi doktor, tak boleh buat kerja cincai-cincai. Itulah pesanan saya kepada pelajar perubatan dan pelajar yang bercita-cita nak jadi doktor. Buat kerja dengan teliti dan rapi. Kena rajin selalu dan tak boleh abaikan tanggungjawab. Genggam bara api biar sampai jadi arang. Saya juga bagi pesanan kepada netizen dan followers berulang-ulang kali, jika anda ada masalah kesihatan atau masalah perubatan, jangan tanya di media sosial, PERGI JUMPA DOKTOR DI KLINIK secara rasmi dan tanya soalan anda kepada doktor yang memeriksa anda, sebab doktor tidak dibenarkan buat kerja cincai-cincai di media sosial tanpa melihat pesakit dan mesti buat penilaian kesihatan dengan teliti sebelum memberi nasihat perubatan. Terimakasih. Dr Imelda Balchin Pakar Perunding Maternal Fetal Medicine