Supine hypotension syndrome.

Netizen tanya, kenapa ibu-ibu hamil pada trimester ketiga (12 minggu terakhir) tidak digalakkan tidur terlentang di atas belakang. Bila ibu hamil berbaring terlentang di atas belakang, di dalam 1 dalam 10 ibu, kedudukan ini menyebabkan rahim yang yang berat tertekan di atas saluran darah besar ibu yang berada di belakang rahim. Saluran darah ini ialah Inferior Vena Cava (IVC) yang membawa darah balik ke jantung dari bahagian bawah badan ibu. Sila lihat gambar 1. Jika IVC tertekan, ia boleh menyekat pengaliran darah kembali ke arah jantung ibu. Akibatnya kurang darah dipamkan keluar daripada jantung dan ini menyebabkan tekanan darah ibu menjadi rendah. Jika tekanan darah ibu menjadi terlalu rendah, ada kemungkinan ini boleh menganggu pengaliran darah beroksigen ke rahim dan uri ibu, dan boleh mengganggu bekalan oxygen yang diperlukan oleh janin. Kajian perubatan menunjukkan yang ibu yang tidur berbaring terlentang di atas belakang boleh meninggikan risiko kematian janin 3.7 kali ganda. Risiko sebenarnya stillbirth (kelahiran mati) ialah 1 dalam 1000 pada 40 minggu kehamilan. Jadi, kalau 3 kali ganda lagi tinggi, ini menjadi 3 dalam 1000 kelahiran. Tetapi, kebanyakan ibu hamil dengan sendirinya akan mengalih kedudukan jika tekanan darah menjadi terlalu rendah sebab tidak sedap badan, tiba-tiba rasa loya nak muntah, pening-pening dan akan dengan sendirinya akan merasa lebih selesa mengubah kedudukan ke mengiring bila tidur. Saya selalu buat Ultrasound scan ibu dalam kedudukan berbaring tetapi meninggikan sedikit bahagian kepala dengan satu bantal. Selagi ibu merasa selesa, saya tahu tak ada supine hypotension syndrome. Kadangkala saya melihat tiba-tiba ibu merasa loya dan hendak muntah, maka saya akan cepat-cepat menyuruh ibu mengiring dan ibu akan dengan segeranya berhenti muntah. Bila kami membuat pembedahan Caesar, kami juga tidak membenarkan ibu berbaring terlentang. Katil itu sentiasa dalam keadaan mengiring ke kiri sedikit (45 degree tilt). Saya pula membuat pembedahan Caesar dari sebelah kanan ibu, ibu mengiring sedikit ke sebelah kiri tu ada kebaikanya untuk pembedah juga, kerana air ketuban mengalir sebelah kiri membasahkan ‘pembantu pembedah’ dan saya tak dibasahi air ketuban ??? Ramai ibu mengadu kepada saya yang mereka ‘tak selesa tidur dan tak cukup tidur’. Salah satu sebab jugalah ‘heartburn’ ‘reflux’ keperihan di ulu hati atau dada akibat acid di dalam perut yang keluar balik ke bahagian kerongkong. Bila ibu-ibu ini mengadu, saya tahu ibu-ibu ini tidak akan berbaring dengan terlentang di atas belakang bila tidur. Saya bagi nasihat tinggikan kepala dengan tiga empat bantal dan mengiring sedikit untuk mengelak heartburn, makan sikit-sikit tetapi dengan kerap dan jangan makan sebelum tidur. Kalau tak tahan juga, ada ubat yang boleh mengurangkan acid di dalam perut. Ada hikmah juga dapat heartburn ni. Bagus tu. Ia mengelakkan ibu daripada tidur berbaring terlentang di atas belakang. Prof Dr Imelda, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Supine hypotension syndrome.
1 Balas
 profile icon
Tulis jawapan
VIP Member

Good information!