DR IMELDA BALCHIN. Bersalin normal selepas 2x caser

Bersalin normal selepas 2x Caesar. Memang boleh, tetapi ada syarat dan protokolnya. Nanti saya cerita naaaa. Tetapi syarat saya bercerita ialah anda berhenti bertanya tentang masalah diri sendiri di media sosial. Tiada perundingan peribadi di sini. Anda mesti jumpa doktor di klinik untuk masalah anda. Saya mengikut protokol negara UK tentang kelahiran normal selepas dua kali pembedahan Caesar, sebab saya doktor UK yang belajar perubatan di negara UK dan sudah memberi 17 tahun perkhidmatan perubatan mengikut protokol negara UK dan masih ada lesen untuk berkhidmat di negara UK. Ramai doula extremist dan penyokong doula (yang ramai dari mereka juga antivaxxer) membuat perbandingan doktor negara Malaysia dan UK dan tanya kenapa di Malaysia ibu tidak dibenarkan bersalin normal selepas 2 kali pembedahan Caesar? Inilah jawapan saya: Perbezaannya negara UK dengan Malaysia ialah: 1) Ada lebih ramai bidan bertauliah. Kalau tak cukup bidan mereka boleh ambil bidan dari luar negara dan ramai sudi datang berkhidmat di negara UK sebab dapat gaji Sterling pound. Mereka boleh memberi perkhidmatan 1-1 atau 1-2 ibu bersalin, iaitu setiap dua orang ibu bersalin ada seorang bidan bertauliah. 2) Hospital UK lebih banyak dari Hospital Malaysia, maka orang yang nak bersalin tak payah mengembara jarak jauh nak sampai ke Hospital, sat saja dah sampai Hospital. 3) Hospital UK ada protokol yang tegas tidak membenarkan ibu memilih-milih kat Hospital mana ibu nak bersalin. Ibu mesti mengikut poskod kawasan, dan pergi ke Hospital terdekat yang memberi perkhidmatan di kawasan perumahan atau tempat tinggal anda bergantung kepada poskod anda. Dengan cara ini, Hospital UK tidak sesak dan kebanyakan Hospital UK mengambil tidak lebih dari lebih kurang 6000 ibu bersalin setiap tahun. Di Malaysia banyak Hospital mengendalikan lebih ramai ibu bersalin sampai 12 ribu ibu bersalin setiap tahun. 4) Hospital UK ada lebih ramai pakar Gynae dari di Malaysia. Terdapat dua ribu pakar Gynae untuk 700 ribu ibu bersalin setiap tahun. Di Malaysia, ada seribu pakar Gynae untuk 500 ribu ibu bersalin setiap tahun. 5) Di UK, kebanyakan ibu-ibu hamil tidak mengadu jika dapat doktor lelaki. Maka jumlah doktor pakar Gynae yang boleh memberi perkhidmatan adalah sebenarnya lebih ramai lagi sebab lebih ramai ibu-ibu menerima pakar Gynae yang lelaki. 6) Di UK, ibu hamil berisiko rendah tidak dibenarkan meminta perkhidmatan doktor. Mereka mesti terima perkhidmatan bidan bertauliah dari permulaan kehamilan di klinik yang dikendalikan oleh bidan-bidan untuk ibu berisiko rendah sehingga selepas bersalin. Jika anda ialah seorang ibu berisiko rendah, anda tidak akan berjumpa dengan doktor untuk keseluruhan kehamilan anda, semasa bersalin dan selepas bersalin. Ini memberi peluang kepada doktor-doktor memberi tumpuan hanya kepada ibu berisiko tinggi. 7) Di UK ada kewajipan di mana setiap wad bersalin berisiko tinggi mesti ada jumlah masa 120 jam seminggu di mana terdapat kehadiran pakar perunding Obstetric & Gynaecology di wad bersalin. Mereka ada lebih ramai pakar perunding. Setiap keputusan pembedahan Caesar oleh pegawai perubatan MESTI mendapat persetujuan pakar perunding. Jika ibu hamil yang sudah ada 2 pembedahan Caesar dan mahukan kelahiran yang normal, syaratnya ialah: 1) Tidak pernah ada pembedahan di bahagian atas rahim, iaitu tidak pernah mendapat upper segment Caesarean section atau classical Caesarean section. 2) Ibu mesti di rujuk ke klinik pakar perunding (Consultant). Doktor perubatan biasa tidak dibenarkan membuat perbincangan ini dengan ibu hamil dan mesti rujuk kepada pakar perunding. Hanya pakar perunding boleh memberi persetujuan untuk ibu-ibu yang memenuhi syarat-syarat. 3) Ibu hanya dibenarkan bersalin normal jika pakar perunding berada di wad bersalin. Mesti ada penyeliaan dan kehadiran pakar perunding. Tak boleh dikendalikan oleh pegawai perubatan biasa tanpa kehadiran pakar perunding. Semua keputusan semasa dalam wad bersalin dibuat oleh pakar perunding bukan pegawai perubatan. 4) Ibu mesti diberi maklumat bahawa risiko rahim pecah ialah 2 kali ganda lebih tinggi, iaitu 10 hingga 13 dalam 1000 ibu yang pernah ada 2 pembedahan Caesar. Jika pernah ada 1 pembedahan Caesar, risiko rahim pecah ialah 5 dalam 1000 ibu. 5) Ibu mesti diberi maklumat bahawa peluang kejayaan bersalin normal selepas 2 x pembedahan Caesar hanyalah 60%. Ini bermakna 40% tidak berjaya dan akan mendapat Caesarean juga. 6) Pernah berjaya bersalin secara normal sebelum atau di antara 2 pembedahan Caesar, sebab inilah faktor utama yang meningkatkan kejayaan bersalin normal dan mengurangkan risiko rahim pecah. Kalau ibu tak pernah berjaya kelahiran normal sebelum ini, ibu tidak akan diberi galakan mencuba kelahiran yang normal selepas 2 pembedahan Caesar. 7) Ibu mesti mengikut protokol menerima branula untuk hydrasi, dan pantauan denyutan nadi janin CTG dari bermula aktif labour sehingga bersalin. 8)Janin membesar dengan normal, tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Tiada masalah kedudukan janin, tiada masalah kedudukan uri dan bukan kehamilan kembar. 9)Tidak dibenarkan di-induce. Jika overdue, jika pecah air ketuban 24 jam dan rahim tidak mengeras sendiri, jika tiada progress dalam labour, maka terus ke pembedahan Caesarean Section. 10) Kesihatan ibu mesti baik, tidak ada obesiti, tidak ada Diabetes dimana ada lebih risiko bahu bayi tersekat atau lebih risiko perlu di-induce, tidak ada tekanan darah tinggi Sebab inilah kebanyakan ibu di Malaysia tidak boleh memilih kelahiran normal selepas 2 pembedahan Caesar sebab tidak mematuhi syarat-syarat di atas. Lebih kurang 50% ibu Malaysia ada obesiti, 16% ada Diabetes semasa kehamilan. Jika pakar perunding tidak boleh hadir ke wad bersalin sebab tidak ada cukup pakar perunding maka anda tidak boleh memilih kelahiran yang lebih berisiko. Jika anda mahukan perkhidmatan seperti ini, maka ramaikanlah bidan-bidan bertauliah untuk mengurangkan beban doktor-doktor pakar dan belajarlah menjadi bidan, bukan jadi makcik bawang atau doula. Kemudian terima lah perkhidmatan doktor pakar lelaki supaya meramaikan lagi doktor pakar yang memberi perkhidmatan kepada anda. Sudi lah menderma darah supaya tabung darah di Malaysia tidak selalu terdesak dan kekurangan darah sekiranya ada kecemasan rahim pecah. Saya lupa nak habaq, di negara UK ada lebih penderma darah . Memang boleh, jika mahukan perkhidmatan yang sama, tetapi kena patuh kepada syarat yang sama. Jaga kesihatan anda sebelum hamil. Janganlah minta saja tetapi tak mahu memberi sumbangan. Jangan jadi macam doula Malaysia dan penjual vape Malaysia yang mahu tunjuk di negara UK lebih selamat tetapi mereka tidak mahu pula mengikut peraturan yang lebih ketat seperti di negara UK. Untuk pengetahuan anda, saya pernah memberi ibu yang mematuhi semua syarat di atas peluang melahirkan secara normal selepas dua pembedahan Caesar, semasa di negara UK dan di Malaysia. Tetapi mengikut syarat keselamatan seperti di atas dan tinggal berdekatan dengan Hospital supaya boleh masuk Hospital awal bila labour bermula supaya boleh dipantau keselamatan ibu dan anak. Terimakasih

1 Balas
 profile icon
Tulis jawapan

Gud info.. Tq sharing