info

Telur separuh masak. Telur mentah dan separuh masak tak sesuai untuk kanak2 bawah 5 tahun, warga emas dan ibu hamil Telur mentah dan telur separuh masak sebenarnya tidak sesuai untuk dimakan kanak-kanak di bawah usia lima tahun, warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun lemah terutamanya ibu hamil. Malah, golongan tersebut juga tidak digalakkan untuk makan telur separuh masak meskipun telur itu disimpan di dalam peti sejuk. Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr. Imelda Balchin tampil mendedahkan dua sebab makanan tersebut patut dielakkan golongan berisiko itu. Beliau berkata dari segi khasiat, protein telur mentah tidak boleh dihadam sepenuhnya. Malah, katanya, dari segi kuman penyakit, telur mentah merupakan pembawa kuman bakteria Salmonella. “Apabila kita makan telur masak, 90% protein boleh dihadam oleh usus manusia, tetapi apabila kita makan telur mentah hanya 50% daripada protein telur mentah boleh dihadam. Dari segi khasiat, itu tak elok untuk kita. “Bakteria Salmonella didapati dari usus dan tahi ayam. Ia boleh masuk ke dalam telur semasa ayam bertelur dan sebelum kulit telur menjadi keras,” katanya dalam satu posting di Facebook. Jelas Dr. Imelda, telur mentah sepatutnya disimpan di dalam peti sejuk bagi menghalang pembiakan bakteria Salmonella. “Untuk mengelakkan pembiakan bakteria ini supaya tidak menjadi banyak, telur-telur mentah sepatutnya disimpan dalam peti sejuk, bukannya di atas rak kedai-kedai runcit,” katanya. Mengulas lanjut mengenai risiko pengambilan telur mentah dan telur separuh masak dalam kalangan ibu hamil, Dr. Imelda berkata semasa hamil sistem imun wanita menjadi lemah sehingga menghalang mereka untuk melawan baka janin yang datangnya dari suami. “Bakteria Salmonella boleh menjadi penyakit serius dan menyebabkan keguguran atau kematian janin. “Jika ibu hamil mendapat Salmonella Enteritis, keguguran berlaku dalam 80% ibu hamil. Anak-anak kecil pula boleh mendapat sawan jika toksin sampai ke bahagian otak,” katanya. Justeru, Dr. Imelda berkata risiko tersebut dapat dielakkan dengan memasak telur sebelum dimakan. “Di negara barat, restoran tidak dibenarkan menjamu telur separuh masak, tapi kita di Malaysia santai saja order ‘roti goyang’, sebab memang sedap makan telur separuh masak. “Undang-undang di negara kita tidak ketat seperti di negara barat, mungkin sebab kita belum lagi dapat epidemik Salmonella seperti yang berlaku di negara barat pada 1970-1980. “Di Amerika masih lagi terdapat 30 kematian setahun disebabkan telur yang dicemari Salmonella,” katanya. Beliau berkata, meskipun epidemik Salmonella meragut kira-kira 30 nyawa setahun di Amerika, tidak bermakna bakteria ini tidak boleh didapati di negara ini. “Di Malaysia, kajian ke atas ayam hidup menunjukkan 12 dalam 100 ayam membawa bakteria ini. Kajian ke atas makanan mentah pula menunjukkan 39 dalam 100 sampel daging ayam mentah mengandungi Salmonella, dan 3 dalam 100 telur mengandungi kuman bakteria Salmonela. “Kalau tak masak ayam betul-betul, boleh terjadi keracunan makanan teruk. Tidak ada restoran berani jamu ayam mentah, tidak ada siapa berani makan ayam separuh masak. Tetapi ramai suka telur separuh masak,” katanya. Beliau berkata seseorang individu akan mula rasa sakit dalam masa enam hingga 72 jam selepas makan telur mengandungi bakteria Salmonella hidup. “Toksin ini boleh menyebabkan keradangan dalam usus, sakit perut, demam, muntah-muntah dan cirit-birit selama empat hingga tujuh hari. Inilah penyakit Salmonela enteritis. “Orang dewasa akan baik dengan sendiri tanpa rawatan sebab sistem imun kita akan melawan toksin,” katanya. Dr. Imelda menjelaskan antibiotik juga tidak mencepatkan kesembuhan penyakit tersebut yang berpunca daripada toksin yang dilepaskan. “Sebab itulah doktor selalunya tidak memberi antibiotik untuk ‘food poisoning’. Pesakit dinasihatkan minum air bersih banyak-banyak sehingga sembuh sendiri,” katanya. Kredit : mStar Online

info
1 Balas
undefined profile icon
Tulis jawapan
VIP Member

👍❤❤