MENANGANI GANGGUAN KECEMASAN ( ANXIETY DISORDER ) SEBAGAI SEORANG MUSLIM

Disclaimer : Saya seorang guru, bukannya seorang doktor. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda: الشَّيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ ، فَإِذَا ذَكَرَ اللهَ خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ Maksudnya: “Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan.” Rujuk kitab Fath al-Bari oleh Imam Ibn al-Hajar al-Asqalani (8/614) Anxiety Disorder atau gangguan kecemasan diantara gangguan psikologi yang menyerang seseorang individu dengan panik, bimbang, takut, risau dan gugup yang melampau. Gangguan ini tidak mustahil akan menyerang sesiapa sahaja termasuklah seorang ibu atau wanita. Apatahlagi wanita yang memiliki hati yang lembut. Antara pentanda serangan ini ialah sukar bernafas, sentiasa berasa risau dan takut, berpeluh dengan banyak, sukar tidur, otot menegang, masalah pencernaaan, terlalu was-was dan tidak ada keyakinan diri. Sebagai seorang Muslim, terdapat banyak cara bagi menangani gangguan kecemasan. Antaranya ialah bertenang dan menarik nafas satu demi satu, berfikiran baik ( husnuzon ), mengambil air wudhu dan mendirikan solat, membaca Al-Quran, meluahkan kegusaran kepada Allah SWT ketika berdoa dan berkongsi masalah dengan pasangan atau ibu bapa atau rakan yang dipercayai, sentiasa berdamping dengan para ulama' dan orang soleh dan menghadiri majlis ilmu. Bertepatan dengan firman Allah SWT : إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”. (Surah al-A’raf: 201) Oleh yang demikian, sekiranya diserang gangguan kecemasan hendaklah segera kembali Allah SWT. Dirikanlah solat. Solat adalah tunjang dalam kehidupan. Solat akan menjadikan akal dan badan sihat. Solat akan menjadikan seseorang berfikiran lebih positif selain daripada ianya tuntutan Rukun Islam yang wajib dilakukan. Jika tidak mendirikan solat, ruh akan kosong. Rumah yang kosong akan dihuni oleh makhluk Allah SWT yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Begitu juga dengan ruh. Ianya perlukan makanan ibadah seperti solat, zikir, selawat dan doa. Sebagaimana tertibnya dalam mengawal rasa amarah. Jika berdiri, hendaklah duduk. Jika duduk, hendaklah berbaring. Jika tidak mampu juga, ambillah wudhu. Air wudhu dengan sifatnya sejuk akan memadamkan rasa amarah yang bersifat panas. Firman Allah SWT: وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepada Aku supaya mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah: 186) Akan tetapi sekiranya masih diserang gangguan kecemasan dalam jangka masa yang lama, segeralah ke hospital atau klinik berdekatan. Buang rasa takut dan malu. Dapatkan bantuan daripada pakar. In Shaa Allah, mereka yang ahli dalam bidang ini akan dapat membantu. Jangan lupa untuk menjaga 3S iaitu Solat, Sabar dan Selawat agar menjadi seorang Muslim yang optimis.

1 Balas
 profile icon
Tulis jawapan
VIP Member

Good info 👍👍