Putus Harapan
Assalamualaikum salam Ramadhan buat semua.. Harapnya semua ibu ibu sihat walafiat.. Saya bukanlah tidak dapat terima takdir Allah. Bukan juga tidak redha. Tapi kadang2 saya tak kuat juga. Apalah daya saya sebagai seorang hamba selain dari menangis dan merintih. Saya dibesarkan dalam keluarga yang cukup agama. Dibesarkan dalam keluarga yang cukup besar. Saya dibesarkan dengan mengenal Tuhan sedari kecil. Dikurniakan suami juga datangnya dari keluarga yang beragama. Alhamdulillah saya dikurniakan ibu ayah mentua yang sangat baik. Ipar duai yang sangat rapat. Saya menantu sulong. Saya mahu bercerita disini kerana hanya ibu ibu disini yang memahami hati saya. Bukanlah saya tidak meluahkan sedih pada Allah, tapi itu biarlah hanya saya dengan Tuhan sahaja. Saya sudah berkahwin dengan suami selama 1tahun 9bulan. Lagi 3 bulan akan cukup 2 tahun usia perkahwinan kami. Dalam tempoh itu saya telah mengalami keguguran sebanyak 2 kali. Bermacam macam usaha kami suami isteri cuba. Berdoa, hafal zikir2 yang baik untuk mendapatkan zuriat, apa saja alim ulama bagitahu, suruh amalkan, suruh hafal kami suami isteri buat. Hafal, baca setiap malam lepas solat, baca dan baca mengharapkan ada keajaiban Allah buat kami. Itu hal rohani, secara zahirnya kami juga pergi berurut, kami amalkan minuman sunnah, makanan sunnah, kami beli supplemen untuk kesuburan lelaki, makan asid folid, amalkan makan kurma ajwa dan bermacam macam usaha kami lakukan untuk mendapatkan zuriat. Alhamdulillah, Allah bagi rezeki pada kami suami isteri. Bila saya tahu saya mengandung, saya amalkan bacaan Al Quran, saya zikir setiap masa, zikir supaya bayi membesar dgn sihat, zikir supaya bayi tidak keguguran, setiap masa hati saya ingat. Saya perlahankan semua aktiviti. Saya rehat, saya bedrest. Tapi Allah itu Maha Baik, Dia Maha Memberi, Dia boleh mengambil. Pada awalnya, saya menangis semahu saya. Saya merintih pada tuhan. Saya ceritakan kebahagiaan kami dan kedukaan kami satu persatu pada Allah walaupun Allah lebih mengetahui jalan hidup saya. Saya jadikan Allah tempat bercerita walhal Allah lah yang mengatur jalan cerita saya. Suami seorang yang sangat tenang, bait katanya melembutkan hati. Lama lama saya redha. Redha dengan ketentuan Ilahi. Lama pula kami merancang. Pergi ke klinik pakar untuk check, beli pula ubat ubatan yang bagus, beli kapsul tongkat ali, beli jus bermacam jus. Makan makanan sunnah, berdoa, bangun solat malam, bermacam2 usaha kami cuba lagi. Saya doa pada Allah "Ya Allah, Ramadhan ini aku mahu hamil" saya ulangi doa ini sehingga seminggu sebelum ramadhan saya disahkan hamil.. Kali ini Allah saja yang tahu betapa saya menjaga diri dan kandungan. Suami tidak izinkan kerja rumah satupun saya buat. Semua suami buatkan dari cuci baju, sidai, angkat, lipat dan semuanya. Padahal suami pun penat pulang dari kerja sambung kerja rumah. Ditakdir, kandungan saya gugur juga. Kali ini, ujian nya lebih lagi sebab kena refer pada pakar O&G. Masa dalam bleeding saya berdoa, saya merayu, saya menangis, saya meminta keajaiban Allah menjaga kandungan saya. Saya letakkan pengharapan yang tinggi, saya tidak putus doa, tidak putus asa. Tapi, apalah daya saya sebagai seorang hamba. Tentunya kuasa Allah melebihi segala galanya. Saya keguguran juga, kali ini tiada lagi air mata. Kali ini, hanya mampu diam dan menerima sebulatnya. Redha? Sudah lama redha. Cuma saya agak terkilan, bukanlah tidak menerima ketentuan Allah, tapi saya juga manusia biasa yang rapuh hatinya juga terkadang rapuh imannya. Saya dikelilingi dengan orang yang saya kenali. Bukan mahu buka aib, cuma saya agak sedih.. Kenapa Allah mudahkan urusan orang lain. Dikawasan rumah saya, kawan saya juga, masa kami sekolah dulu dia selalu lari rumah dan datang rumah saya, dia bagitahu ibu dia pukul sebab kantoi dengan lelaki dalam bilik. Dia juga bagitahu, dia sudah tidak ada dara. Dan sekarang, dia kahwin dengan suaminya yang dia kantoi dulu. Anaknya sudah ramai. 3 orang nak masuk 4 orang. Malah kandungan dia sihat, tidak ada apa masalah. Saya dikelilingi dengan orang yang maaf sangat saya katakan.. Orang yang tidak tutup aurat, Allah beri dia anak. Orang yang berzina, Allah beri dia anak. Orang yang hisap dadah, Allah beri dia anak. Orang yang hidup merempat, Allah beri dia anak. Kadang fikiran waras saya kata anak itu sebagai penolongnya. Tapi jika fikiran saya sedih, saya kata kenapa Allah beri anak pada dia sedangkan kami semua melihat anaknya tidak membesar dengan baik dan akhirnya meninggal kerana cuai sikap ibu dan ayah. Senang mereka dapat zuriat. Kadang saya cemburu, tapi saya sedar Allah Maha Mengetahuai. Ada nasihat untuk saya? Jika ada, bagitahu lah. Saya mendengar dan menerima.