2 Balas
“Dr Imelda, betul ke selepas bersalin, kena catu minum air, kalau minum banyak nanti Miss V (vagina) jadi becak, berair, dan suami akan lari?” Jawapan saya: Ini betul hanya untuk ibu-ibu yang bersalin pada zaman dulu-dulu tetapi tak betul untuk ibu-ibu yang bersalin pada zaman sekarang. Mai nak habaq. Ini petua orang zaman dulu, yang hanya relevan untuk ibu yang bersalin zaman arwah nenek moyang dulu-dulu. Zaman dulu-dulu, semua ibu bersalin di rumah dan tiada perkhidmatan ‘skilled birth attendant’ iaitu tiada perkhidmatan doktor Gynae atau bidan bertauliah. Pada zaman dulu, jika ibu-ibu yang ada masalah bersalin, mereka tak boleh mendapat perkhidmatan pembedahan Caesarean Section, maka ada ibu-ibu yang meneran berhari-hari sehingga terjadinya koyakan besar di antara pundi kencing (bladder) dan vagina. Koyakan ini dinamakan ‘Obstetric Fistula.’ Zaman dulu-dulu juga lebih ramai perempuan ada masalah bersalin sebab lebih ramai kanak-kanak perempuan dikahwinkan pada usia yang terlalu muda sebelum tulang pinggulnya sudah membesar dengan cukup untuk melahirkan bayi. Ibu-ibu yang tak berjaya bersalin juga selepas meneran berhari-hari kebanyakannya meninggal dunia bersama anak di dalam kandungannya. Kadar Kematian ibu bersalin zaman dulu-dulu ialah 20 kali ganda lebih tinggi dari kadar kematian ibu zaman sekarang. Jika ibu-ibu yang meneran berhari-hari berjaya bersalin, ada kadar kematian bayi sangat tinggi dan risiko ibu mendapat Obstetric fistula juga sangat tinggi. ——————————————————————— Apa akan terjadi kepada ibu-ibu yang dapat Obstetrics Fistula? 1) Ada lubang di antara pundi kencing dan vagina. 2) Setiap kali ibu ini minum air, air kencing yang masuk dalam pundi kencing akan terus mengalir keluar melalui lubang itu dan keluar melalui saluran vagina. Sebab itulah vagina menjadi berair, becak dan berbau busuk. 3) Jika ibu ini bernasib baik, lubang Obstetric Fistula kecil saja dan boleh sembuh sendirinya jika ibu minum sedikit saja air. Untuk lubang yang kecil berjaya sembuh sendiri, pundi kencing mesti dikosongkan supaya lubang itu tertutup. Jika ibu dibenarkan minum banyak-banyak pundi kencing akan membesar sebab penuh air kencing yang banyak dan lubang itu juga tidak boleh tertutup sebab air kencing sentiasa mengalir keluar dari lubang yang tidak tertutup. 4) Jika ibu tidak bernasib baik lubang Obstetric Fistula nya besar, dan lubang yang besar ini tak boleh sembuh sendiri tanpa pembedahan Obstetric Fistula repair dimana pakar bedah menjahit untuk menutup lubang itu. Selagi lubang besar tak sembuh, maka ibu ini akan sentiasa becak, dan ramai ibu-ibu ini ditinggalkan oleh suami mereka. 5) Selepas pakar bedah membuat pembedahan obstetric fistula repair, nasihat untuk ibu-ibu ini ialah larangan membuat hubungan kelamin selama 100 hari supaya tiada kecederaan yang boleh membuka lubang ini semula sehingga ia sembuh dan untuk mengelakkan jangkitan kuman bakteria sehingga pembedahan ini sembuh. Inilah pantang bersama suami 100 hari pada zaman dulu-dulu. —————————————————————— Apakah perbezaannya zaman dulu-dulu dengan zaman sekarang dengan adanya perkhidmatan perubatan moden? A) Sekarang di Malaysia, 99.5% ibu-ibu bersalin dengan ‘skilled birth attendant’ iaitu bidan bertauliah yang akan rujuk ibu-ibu kepada doktor gynae sekiranya ada masalah nak bersalin, untuk pembedahan Caesarean Section. Doktor-doktor Gynae tidak membenarkan ibu-ibu meneran berjam-jam dan akan membantu ibu-ibu untuk bersalin. B)Sekarang di Malaysia, tiada lagi Obstetric Fistula. Ini sangat jarang berlaku pada zaman sekarang. Kami juga sentiasa prihatin dan akan pastikan ibu-ibu yang baru bersalin boleh kencing dengan normal sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Sekiranya ada kecederaan pada pundi kencing, doktor-doktor gynae tidak membenarkan ibu pulang ke rumah sehingga masalah pundi kencing dibetulkan. Masalah lubang fistula di antara pundi kencing dan vagina yang kita selalunya jumpa pada zaman sekarang ialah akibat kanser yang merebak dari pangkal rahim ke pundi kencing dan bukan sebab masalah bersalin. C)Sekarang di Malaysia, doktor-doktor tak pernah suruh ibu yang baru bersalin catu minum air, dan kami benarkan semua ibu-ibu yang baru bersalin minum sebanyak mana yang mereka suka dan perlukan untuk membuat susu ibu secukupnya dan mengelakkan dehidrasi. D) Maka, petua lama yang menghadkan air minum ibu yang baru bersalin ialah petua yang tidak relevan lagi zaman sekarang dan tak perlu ikut lagi. Malah, zaman sekarang ada lebih ramai ibu-ibu obese jika dibandingkan dengan zaman dulu-dulu. Ibu-ibu bersalin yang obese ada risiko lebih tinggi mendapat darah beku dalam saluran darah dan risiko ini meningkat jika dibiarkan kehausan dan darah menjadi lebih pekat. Darah beku di dalam saluran darah vena ini dinamakan Deep Venous Thrombosis atau DVT. Sekiranya cebisan darah beku ini termasuk ke dalam saluran darah di dalam paru-paru, inilah yang dinamakan pulmonary embolism dan inilah salah satu penyebab kematian ibu bersalin pada zaman sekarang. Jika berlakunya pulmonary embolism, darah beku di dalam saluran darah paru-paru menyekat pertukaran oxygen di dalam paru-paru ke dalam darah dan ini menyebabkan ibu susah bernafas, kegagalan jantung, kemasukan air dalam paru-paru dan kematian ibu secara mengejut. —————————————————————— Akhir sekali, untuk ilmu pengetahuan anda semua, masalah Obstetric Fistula ini masih lagi berlaku di benua Afrika. Di negara-negara miskin benua Afrika, seramai 50% ibu tidak mendapat perkhidmatan bersalin dengan ‘skilled birth attendant’. Zaman sekarang, di benua Afrika, seramai 100 ribu ibu bersalin masih lagi mendapat Obstetric Fistula setiap tahun, dan ramai dari mereka ditinggalkan suami mereka. Di benua Afrika, kadar pembedahan Caesarean section adalah paling rendah di dunia, kadar kematian ibu bersalin adalah paling tinggi di dunia, dan kadar kejadian Obstetric Fistula juga adalah paling tinggi di dunia. Jadi kita harus bersyukurlah dan berterimakasihlah kita hidup di negara Malaysia di mana semua ibu boleh bersalin dengan ‘skilled birth attendant’ dan semua ibu tak perlu menyeksakan diri mengikut pantang-pantang bersalin zaman dulu-dulu yang hanya relevan untuk ibu-ibu yang bersalin zaman dulu-dulu. Semoga ilmu pengetahuan ini bermanfaat untuk anda. Yang ikhlas, Dr Imelda Balchin, Pakar Perunding Obstetrics & Gynaecology Subspecialist Maternal & Fetal Medicine.
Ye. Hormon, Sbb nyusu baby jgk…biasa sebenarnya keadaan tu, sbb tu ada kes lepas branak bini xbrapa minat tang tu. Ada yg cakap bykkan minum air mungkin mmbntu