DR IMELDA BALCHIN. Jangan ikut ajaran sesat nak bersalin normal selepas caser

Doula extremist. Mereka sangat angkuh mengatakan doktor perubatan hanya tahu ilmu dalam buku teks saja. Saya sudah lihat nasihat sesat yang di sampaikan oleh doula extremist bagaimana nak berjaya VBAC, iaitu bagaimana nak bersalin normal selepas pernah bersalin secara pembedahan Caesar. Doula extremist akan memberi nasihat sesat duduk di rumah lama-lama bila rahim mengeras sehingga rasa dah nak teran baru masuk ke hospital. Ini ialah nasihat yang boleh membahayakan nyawa ibu dan anak di dalam kandungan kerana tidak mendapat pantauan doktor perubatan semasa proses labour. Kami doktor-doktor sudah banyak kali membantu menyelamatkan ibu yang rahimnya pecah. Jika ini berlaku di wad bersalin, kami boleh bertindak dengan cepat. Jika berlaku di rumah, ini lebih lagi membawa maut. Salah seorang doula extremist Malaysia yang pernah bersalin dengan pembedahan Caesar DUA KALI, cuba beranak sendiri di rumah secara normal, tanpa kehadiran bidan bertauliah atau doktor. Apabila berjaya, ramai doula-doula extremist lain naik muka dan berani melawan nasihat doktor. Malangnya pada tahun 2015, doula extremist ini cuba lagi sekali beranak di rumah untuk anak keenam, tanpa kehadiran bidan bertauliah atau doktor, dan akibatnya berlaku pendarahan yang teruk dan malangnya doula ini tidak dapat diselamatkan. Doula extremist ini mati bersalin di rumah dan kemudian doula extremist Malaysia mula ubah nasihat suruh beranak di hospital, tetapi mereka masih memberi nasihat sesat masuk ke Hospital lambat-lambat sampai ada ibu yang terberanak di pintu Hospital. Kenapakah saya marah kepada doula-doula extremist ini yang menggelarkan diri mereka ‘Cikgu Bersalin’ dan membuat kesalahan memberi nasihat perubatan tanpa apa-apa tauliah atau kelayakan? Sebab saya sudah lihat sendiri bagaimana rahim pecah dan betapa susahnya cabaran sepasukan doktor-doktor menyelamatkan nyawa ibu dan anak. Walaupun di negara UK yang lebih maju sekalipun, dan ada lebih ramai doktor pakar sekalipun, rahim pecah ialah satu kecemasan yang sangat genting. Pada suatu hari, semasa saya bertugas sebagai pakar perunding di negara UK, saya memberi nasihat kepada seorang ibu hamil, jangan cuba melahirkan bayi secara normal sebab beliau ialah seorang ibu yang mempunyai risiko rahim pecah yang tinggi. Risiko rahim pecah untuk setiap ibu yang pernah mengalami pembedahan ke atas rahim adalah berlainan, bergantung kepada sejarah jenis pembedahan, tempat pembedahan di atas rahim, berapa kali pernah membuat pembedahan, saiz bayi dan kedudukan bayi. Maka anda tak boleh tanya di media sosial bolehkah anda melahirkan secara normal, sebab anda perlukan penilaian secara individu daripada doktor yang merawat anda sendiri. Ibu hamil ini pun bersetuju menjalankan pembedahan Caesar, dan kami sudah memberi tarikh untuk datang ke Hospital untuk pembedahan pada 37 minggu kehamilan. Tetapi, 5 hari sebelum tarikh pembedahan Caesar, ibu ini masuk ke hospital, sebab katanya rahimnya sudah mula mengeras-ngeras. Pada masa itu, bidan beritahu saya, ibu hamil ini baru saja mula mengeras dan sudah terus masuk Hospital. Rumahnya berdekatan dengan Hospital dan sudah sampai dalam masa 15 minit. Bila sampai, bidan beritahu saya, pangkal rahimnya masih belum buka lagi. Saya pun beritahu bidan, sila bawa ibu ini masuk terus ke bilik pembedahan, tak payah tunggu lama-lama sebab saya tahu risiko ibu ini tinggi. Saya pun telephone pakar bius, ada ibu hamil yang perlukan pembedahan Caesar sekarang, dan saya panggil doktor Registrar yang sedang dalam latihan untuk menjadi pakar supaya datang membuat pembedahan Caesar ini. 15 minit kemudian, pakar bius panggil saya. Katanya beliau tidak faham kenapa selepas bius spinal, ibu ini tiba-tiba mengadu sakit di bahagian bahu. Bila saya dengar apa pakar bius kata, saya terus masuk ke bilik bedah dan kata saya akan membuat pembedahan ini sendiri dan minta Registrar berdiri di sebelah saya. Mereka terpinga-pinga, kenapa Pakar Perunding masuk membuat pembedahan Caesar ini? Jawapannya ialah sebagai pakar perunding kita sudah ada pengalaman mengetahui apakah masalah yang lebih cemas yang memerlukan kehadiran doktor pakar. Sakit di bahagian bahu dalam keadaan sebegini ialah ‘Referred shoulder pain’. Ini ialah satu petanda bahawa ada darah berlebihan berkumpul di dalam abdomen ibu yang menyebabkan tindakbalas urat saraf yang di bawa ke bahagian bahu. Ibu ini tidak mengadu sakit di bahagian abdomen sebab sudah dapat bius spinal yang berkesan, tetapi ini tidak berkesan menghilangkan rasa sakit ‘Referred shoulder pain’. Bila saya buka abdomen ibu, memang ada pendarahan yang tidak sepatutnya ada di situ, dan air ketuban bayi juga penuh dengan darah. Rahim sudah pecah (lihat gambar pertama), dan saya teruskan memperbaiki rahim ibu dan kemudian ikat rahim untuk membantunya mengecut dan menghentikan pendarahan (lihat gambar kedua). Ibu dan anak ini selamat, sebab rahim pecah berlaku selepas sampai ke hospital, malah kejadian rahim pecah ini baru saja berlaku selepas ibu ini sudah pun masuk ke bilik bedah. Saya berasa sangat lega ibu ini mengikut nasihat dan datang terus ke Hospital apabila rahimnya mula mengeras. Tindakan ibu ini sendirilah yang membantu kami menyelamatkannya dari kemudaratan yang lebih teruk. Saya bagi nasihat untuk kelahiran yang berikutnya, jarakkan kehamilan selama 2 tahun dan untuk pembedahan Caesar yang berikutnya kita akan buat lebih awal sedikit pada 36 minggu kehamilan, hanya sedikit pramatang, sebab ibu ini tidak dibenarkan mengalami proses labour lagi sekali. Kesimpulannya: dengarlah nasihat doktor anda, bukan nasihat makcik bawang dan bukan nasihat doula extremist. Jangan kata doktor hanya tahu ilmu buku teks saja. Pada hakikatnya anda tak boleh jadi doktor pakar tanpa empat perkara, iaitu: 1) Ilmu pengetahuan kajian perubatan antarabangsa yang tidak ada dalam buku teks, 2) Kemahiran mengendalikan berbagai jenis kecemasan selepas menjalani latihan-latihan, 3) Pengalaman perubatan sekurang-kurangnya 10 tahun selepas mendapat ijazah perubatan. 4) Sifat orang yang sangat insaf tetapi tegas sebab kami menghargai keselamatan nyawa anda.

DR IMELDA BALCHIN.          Jangan ikut ajaran sesat nak bersalin normal selepas caser
2 Balas
undefined profile icon
Tulis jawapan
VIP Member

👍🏻👍🏻👍🏻

👍👍👍