DR EMELDA BALCHIN *Apakah kehamilan yang overdue?*

Doula extremist dan geng antivaxxer (termasuklah suami doula antivaxxer yang suka mengarut) memang suka mengelirukan masyarakat dengan kenyataan yang mengarut (sila lihat apakah penulisan salah satu dari doula extremis yang menggelarkan dirinya sebagai childbirth educator di gambar 1). Tetapi followers saya boleh mendapat ilmu pengetahuan yang sahih di sini (lihat gambar 2). ‘Estimated due date’ atau EDD ialah genap 40 minggu kehamilan atau 280 hari. Kalau 40 minggu + 1 hari ke atas, atau 281 hari ke atas, ini lah post-date, dan ini lah overdue. Maka, mengikut definasi WHO dan perubatan antarabangsa yang betul, post-date, post-EDD dan overdue ialah istilah yang SAMA, iaitu melebihi genap 40 minggu atau melebihi 280 hari. Post-EDD = Post-date = Overdue = Kehamilan yang berterusan selepas 280 hari atau genap 40 minggu. 280 hari atau genap 40 minggu dipilih sebagai EDD atau tarikh anda diramalkan melahirkan anak, sebab lebih daripada 50% atau setengah ibu-ibu hamil akan bersalin sebelum tarikh EDD ini, dan 50% akan melahirkan anaknya selepas 280 hari. Tarikh EDD ialah secara purata, waktu pertengahannya bila semua ibu-ibu akan bersalin. Kebanyakan ibu hamil akan bersalin sebelum 42 minggu atau sebelum 294 hari kehamilan. Hanya segelintir yang masih lagi hamil selepas 42 minggu. Bila sudah 42 minggu atau 294 hari kehamilan, ini lah dinamakan kehamilan post-term. --------------------------------------------------- Adakah selamat menunggu hingga 43 minggu seperti kata doula? Kelahiran bayi mati, atau stillbirth, pada 40 minggu kehamilan ialah 1 dalam 1000 bayi yang dilahirkan. Tetapi semakin meningkat kematangannya, kelahiran bayi mati juga mula meningkat, terutamanya selepas 41-42 minggu, dimana kematian bayi didapati berlaku kepada 3 dalam 1000 bayi yang dilahirkan. Sebabnya kematian bayi ini telah dikaitkan dengan kekurangan bekalan oxygen dan khasiat dari uri placenta kepada janin apabila keperluan janin yang lebih besar mula melebihi apa yang mampu dibekalkan oleh uri placenta, dan sudah tiba masanya janin ini perlu dilahirkan untuk mendapatkan khasiat susu ibu. 22 kajian perubatan melibatkan lebih daripada 9000 ibu hamil menunjukkan apabila kita merangsangkan proses kelahiran (induction of labour, atau induce) ibu hamil pada 41 minggu kehamilan, kelahiran bayi mati dikurangkan, jika dibandingkan dengan menunggu sahaja kelahiran sendiri selepas 41 minggu. Didapati di dalam kumpulan ibu hamil dalam kajian yang menerima induction, seorang bayi meninggal dunia tetapi di dalam kumpulan ibu hamil yang menunggu kelahiran bermula dengan sendiri, 13 orang bayi meninggal dunia. Kesimpulannya: jika ibu hamil di-induce pada 41 minggu kehamilan, A) 3 kelahiran bayi mati dikurangkan dalam setiap 1000 bayi yang di induce jika dibandingkan dengan menunggu sahaja kelahiran bermula secara semulajadi. B)Masalah bayi tersedut meconium hijau yang keluar daripada usus janin ke dalam saluran pernafasannya (meconium aspiration syndrome) juga dikurangkan sebanyak 50% C) Pembedahan Caesar dikurangkan sebanyak 11%. Jadi, sudah terbukti ada kelebihannya induction of labour sebelum 42 minggu dari segi kesihatan bayi yang dilahirkan dan kesihatan ibu mengelakkan pembedahan Caesar. Jika ibu masih lagi hamil selepas tempoh ini, kesihatan janinnya patut dipantau dua kali seminggu melalui ultrasound scan dan pemantauan CTG (denyutan nadi janin). Jika ibu-ibu memilih untuk induce, mereka akan diberikan penerangan kaedah-kaedah yang digunakan. Mereka digalakkan membawa birth partner untuk memberi sokongan moral kerana terpaksa duduk di hospital lebih lama sedikit untuk memulakan proses induction. --------------------------------------------------- Bagaimanakah nak mengelakkan induction selepas 41 minggu? Untuk mengelakkan induction of labour selepas 41 minggu, ibu-ibu digalakkan memastikan EDD nya tepat dengan membuat ultrasound scan untuk mengukur saiz janin CRL (Crown Rump Length) iaitu dari kepala ke hujung punggung, di antara 11 dan 14 minggu kehamilan. Tarikh EDD 280 hari itu, ialah 280 hari daripada tarikh haid yang terakhir, dimana hari pertamanya ialah tarikh pada hari pertama ibu mendapat haid yang terakhir (Last Menstrual Period, LMP). EDD 280 hari membuat andaian yang persenyawaan berlaku pada hari ke-14 selepas haid bermula. Tetapi kita tahu ada persenyawaan berlaku hari ke-10 dan ada yang berlaku hari ke-21, bergantung kepada kitaran haid yang berlainan dan bilakah ovulasi berlaku. Saiz janin CRL di antara 11 dan 14 minggu kehamilan lah memberikan tarikh EDD yang paling tepat sekali, terutama sekali jika ibu hamil tidak tentu bilakah tarikh haid, mempunyai kitaran haid yang berbeza-beza setiap bulan, atau tidak ada haid sebab masih lagi menyusukan anak kecil. Jika membuat scan terlalu lambat (selepas 14 minggu), ukuran saiz janin CRL kurang tepat untuk memastikan tarikh EDD yang tepat. Bila tarikh EDD kurang tepat kerana ibu tidak tentu tarikh haidnya yang terakhir, dan tidak tahu waktu sebenarnya persenyawaan berlaku, dan tidak menentukan EDD yang betul melalui scan sebelum 14 minggu, ramai ibu akan sangka mereka sudah overdue. Padahal jika semua ibu-ibu membuat scan di antara 11 dan 14 minggu, dan tarikh sebenar EDD dibetulkan, ramai ibu ini sebenarnya belum overdue lagi. Ini pun telah dibuktikan oleh kajian perubatan, yang pembetulan tarikh EDD dengan pengukuran CRL janin di antara 11-14 minggu kehamilan mengurangkan jumlah ibu-ibu hamil yang menerima induction of labour selepas 41 minggu. --------------------------------------------------- Berilah maklumat yang betul kalau nak mengajar, terutama sekali di sosial media. Ibu-ibu hamil berhak mendapatkan maklumat yang sahih supaya yakin membuat keputusan. Kalau ibu-ibu membuat keputusan sendiri tidak mahu mengikut nasihat doktor untuk induce selepas 41 minggu pun, yang paling penting sekali ialah ibu-ibu ini mendapat 'informed consent' iaitu diberi penerangan kenapa doktor memberi nasihat ini dan dipantau dengan lebih kerap sehingga bersalin (bukan dibiarkan saja tanpa memantau kesihatan janin). Ramai bayi tidak ada masalah jika dilahirkan selepas 42 minggu, tetapi jika terdapat masalah ini BOLEH DICEGAH melalui induction dan kelahiran sebelum 42 minggu. Kebanyakan ibubapa apabila diberikan penjelasan ini tidak akan memilih menunggu sehingga 43 minggu kehamilan. Kebanyakan ibubapa memilih untuk berusaha sebelum bertawakal, dan bukan bertawakal sahaja. —————————————————————— Sekarang kita lihat pula kajian perubatan terbaru yang saya terbitkan bersama-sama dengan rakan-rakan professor-professor saya dari UK, di journal perubatan antarabangsa tahun ini. Ini ialah usaha gabungan penyelidikan saya bersama Professor luar negara dari England, Scotland dan Madrid yang telah berjaya menganalisakan kelahiran seramai 15 juta ibu hamil. Kami membuktikan jika ibu hamil meneruskan kehamilan di antara 40 minggu ke 41 minggu kehamilan, dalam masa satu minggu kehamilan overdue ini, 1 dalam 1449 bayi meninggal dunia. Sebab inilah pemantauan kandungan ibu hamil walaupun ibu berisiko rendah mesti diteruskan sehingga bayi dilahirkan, jangan kata tak payah pantau dan boleh bersalin di rumah saja tanpa apa-apa pantauan janin yang sudah matang. Sebab inilah juga saya selalu bagi ibu hamil nasihat, jika ada pengurangan pergerakan janin daripada apa yang janin ini biasa buat, jangan buat alasan ini sebab tidak ada ruang untuk janin dalam kandungan untuk bergerak - Ini ialah MITOS! Ambil perhatian juga pergerakan janin dan sila datang ke hospital untuk penilaian kesihatan janin jika ibu perasan ada perubahan. Tak payah tunggu appointment di klinik (tetapi jangan datang jika baru 20 minggu kehamilan ya. Nasihat di atas ialah untuk kehamilan trimester ketiga iaitu 28 minggu ke atas) Sebenarnya saya sudah tahu keputusan ini 15 tahun dulu bila saya terbitkan keputusan kajian saya ke atas 500 ribu ibu bersalin, tetapi kami mahukan maklumat lanjut dari 15 juta ibu bersalin untuk mengesahkan penerbitan dan keputusan penyelidikan saya pada tahun 2007 di dalam British Medical Journal. Banyak ilmu pengetahuan yang kita dapat dari penyelidikan perubatan dan ilmu pengetahuan kita semakin bertambah. Kita tak buat saranan dari testimonial. Kita tak buat saranan dari satu kajian perubatan saja, tetapi dari gabungan banyak kajian yang melibatkan beribu-ribu atau berjuta-juta pesakit yang mengesahkan dan menyokong keputusan kajian yang sebelumnya . Jadi, jangan laaa kata pengalaman diri sendiri saja sudah cukup untuk doula makcik bawang nak tiba-tiba bagi nasihat perubatan kepada orang lain di media sosial. Saya sendiri tidak pernah beri nasihat perubatan dari testimonial diri sendiri. Sebab bukti kajian-kajian seperti inilah, jika ada masalah yang membimbangkan, doktor akan mencadangkan induce labour untuk merangsangkan kelahiran yang lebih awal sedikit dari menunggu saja labour bermula sendiri. Doula extremis akan kata macam-macam untuk menakutkan ibu bersalin di Hospital dan mereka tuduh doktor paksa labour tetapi istilah yang sebenarnya ialah ‘merangsangkan labour’. Doula extremis dan antivaxxer juga suka buat fitnah doktor belajar dari buku teks saja, satu kenyataan yang sangat jauh dari kebenaran. Jadi, jika ibu yang hamil mengadu pergerakan janin mula berkurangan dan tidak cergas seperti biasa, dan janin itu sudah pun melebihi 28 minggu kehamilan, ini mungkin tanda-tandanya janin yang tidak mendapat bekalan yang cukup dari uri placentanya dan mula menjadi tidak cergas seperti kebiasaannya. Ini lah janin yang mesti diberikan perhatian doktor dan dipantau dengan lebih rapi, dipantau pembesarannya dan ada kemungkinan perlu di-induce sebelum tarikh EDD. Sila bertanya kepada doktor anda jika ada apa-apa lagi keraguan. Jangan pula tanya saya di media sosial jika anda bimbang. Anda perlu berjumpa dengan doktor yang membuat pemeriksaan dan penilaian kesihatan anda dan janin anda sendiri di klinik atau Hospital, bukan tanya di media sosial. Untuk bacaan lanjut, https://journals.plos.org/plosmedicine/article?id=10.1371/journal.pmed.1002838 Dr Imelda Balchin, Pakar Perunding Maternal dan Fetal Medicine, KPJ Damansara Specialist Hospital

1 Balas
 profile icon
Tulis jawapan
VIP Member

Info yg brmanfaat..☺