DARAH NIFAS SEDIKIT?

Ada beberapa patients saya tanya, kenapa selepas Caesarean section, darah nifas sedikit saja? Saya jawab jangan bimbang, kalau sedikit, bermakna tiada banyak yang perlu keluar, bukan sebab ada darah terkumpul dalam rahim. Darah tak boleh terkumpul dalam rahim, sebab organ rahim sangat istimewa dan akan berusaha mengecut dan keluarkan darah juga. Darah nifas boleh kering di antara 14 hingga 60 hari. Puratanya ialah di antara 24 hingga 36 hari. Tetapi bagi pesakit saya yang menjalani pembedahan Caesar, ramai yang kata darah nifas hanya sedikit dan kering lebih cepat. Saya kata sebabnya ialah selepas saya keluarkan bayi dan placenta, saya ambil kain gauze yang sterile dan saya lap permukaan dinding rahim supaya tiada cebisan uri, tissue atau membrane kantung yang tertinggal dalam rahim. Selepas itu saya pastikan dinding rahim mengecut dengan betul semasa menjahit rahim semula dengan dua lapisan jahitan. Semua pesakit yang menjalani Caesar menerima suntikan ubat yang mengecutkan rahim, sama juga seperti semua yang bersalin secara normal. Jika anda selepas bersalin mendapati darah nifas sedikit saja dan kering sebelum 44 hari, jangan bimbang. Angka 44 hari itu hanya mitos zaman dulu. Darah nifas boleh kering lebih awal dan tiada racun atau darah kotor terkumpul dalam rahim jika kering lebih awal. Pada zaman dulu, nenek moyang tidak dapat ubat suntikan mengecutkan rahim, maka uri placenta mengambil masa yang lebih lama untuk keluar dan darah nifas lebih lama sebelum kering. Zaman dulu, kita perlu urut-urut rahim untuk mempercepatkan uri keluar supaya rahim mengecut. Zaman sekarang, tak perlu lagi urut rahim, kecuali bagi mereka yang rahim tidak mengecut selepas suntikan ubat syntometrine atau syntocinon. Saya sendiri akan urut rahim di bilik bedah jika rahim itu lambat mengecut dan kemudian tambahkan ubat lain yang lebih kuat untuk mengecutkan rahim seperti ubat prostaglandin F2-alpha. Dengan cara ini, saya tidak benarkan pendarahan yang banyak berterusan. Saya tak urut rahim ibu jika tidak perlu selepas ubat suntikan telah diberikan, sebab mengurut rahim ibu itu menyakitkan ibu, dan saya tak suka buat apa yang menyebabkan ibu sakit jika tak perlu buat. Jangan percaya kepada makcik bawang yang menakut-nakutkan anda sebab tidak tahu teknologi moden dan tak tahu cara penjagaan kesihatan ibu bersalin zaman sekarang sudah berubah. Jangan bimbang jika zaman sekarang darah nifas kering dengan lebih cepat dari zaman dulu. Sekarang anda bersalin dengan doktor atau bidan bertauliah, bukan bersalin sendiri di rumah dengan bidan kampung yang tiada ubat-ubatan moden, dan bukan bersalin dengan doula. Terimakasih. Dr Imelda Balchin Pakar Perunding Obstetrics & Gynaecology, Subspecialist Maternal & Fetal Medicine.

undefined profile icon
Tulis jawapan
Jadi orang pertama untuk membalas!