asid folik
ASID FOLIK Setibanya musim cuti sekolah, tibalah musim kenduri kahwin. Apakah perancangan dari segi pemakanan bagi yang ingin memulakan kehidupan berkeluarga? Kebiasaanya, golongan wanita yang merancang untuk hamil digalakkan mengambil suplemen asid folik, di samping pemakanan yang sihat. Kenapa asid folik? Vitamin B9 atau lebih sinonim dengan nama asid folik (folate) kaya dalam makanan berasaskan kekacang dan sayuran berdaun hijau. Bijirin yang difortifikasi dengan asid folik juga boleh memenuhi saranan. Asid folik diperlukan untuk fungsi pembahagian sel (pembentukan dan pengekalan) dan mengelakkan perubahan DNA. Oleh sebab asid folik mudah hilang/ termusnah ketika proses penyediaan (pertanian, pengangkutan dan memasak - masak sayuran hingga layu/ lembut), suplemen asid folik disarankan kepada wanita yang merancang untuk hamil atau yang sedang hamil kerana mempunyai kebolehdapatan biologi (atau mudah difahami sebagai penyerapan) yang lebih tinggi berbanding makanan. Namun, itu tidak bermakna anda boleh elakkan makanan semulajadi dan utamakan suplemen semata-mata kerana suplemen adalah bersifat nutrien tunggal (single nutrient) manakala makanan adalah bersifat pelbagai nutrien (multinutrient). Contohnya, sayur sawi kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral serta serat berbanding suplemen asid folik hanya mengandungi asid folik. Ingatlah juga suplemen adalah makanan tambahan, hanya jika perlu. Jangan pukul rata makanan dan suplemen. Kehamilan akan meningkatkan keperluan asid folik (wanita hamil memerlukan 600µg asid folik/ hari) kerana diperlukan untuk perkembangan dan pertumbuhan janin yang pesat. Sekiranya keperluan asid folik tidak dipenuhi, boleh menyebabkan masalah kecacatan (neural tube defect) pada janin, selain anemia kekurangan asid folik pada ibu. Maka, bagi memastikan kesihatan ibu dan anak yang bakal dilahirkan, asid folik adalah antara nutrien yang penting. Penuhi keperluan asid folik dan nutrien yang lain dengan mengamalkan kepelbagaian makanan. Kebanyakan masa, ibu hamil tidak memakan sayuran mengikut saranan (3 sajian sayur SETIAP HARI). Satu sajian sayuran adalah bersamaan dengan 4 sudu makan sayuran bermasak seperti sawi, kangkung, bayam dan lain-lain, atau satu cawan penuh sayuran tidak bermasak seperti ulam. Tambahkan sumber protein tumbuhan seperti kekacang dalam diet harian seperti tauhu, tempeh, kacang kuda, kacang dhal, kacang hijau, kacang panggang, badam, gajus dan lain-lain. Bagi pasangan atau suami, adakah anda hanya mengharapkan isteri melakukan segalanya untuk melahirkan zuriat yang sihat? Apakah peranan anda? Amalkan pemakanan yang sihat bersama isteri. Makan sayur (3 sajian sehari) dan buah (2 sajian sehari) mengikut saranan. Sekiranya isteri memasak sayur, makan sayuran tersebut. Sekiranya keluar makan, pesan hidangan sayur untuk dinikmati bersama. Selalunya isteri akan kurang masak atau memesan sayur apabila ahli keluarga atau suaminya tidak gemar makan sayur (faktor persekitaran yang tidak kondusif untuk makan sayur). Selain itu, merokok juga boleh mengurangkan kadar penyerapan asid folik, jadi faham-fahamlah lelaki yang merokok (ahli keluarga akan menjadi perokok pasif). “Makan sayur dan buah” "Makan secara sihat, resepi keluarga sihat" Nota: Suplemen adalah tambahan kepada makanan dan diambil setelah dinilai keperluannya oleh doktor, nutritionist dan/ atau dietitian bagi mengelakkan interaksi lain/ toksisiti. AWAS: Jangan ada pihak yang manipulasi penulisan ini untuk promosi produk. Penafian: Penulisan ini tidak menyokong atau endorse mana-mana jenama/ produk suplemen di pasaran mahupun agennya. By Nutritionist Thiru. #communitynutritionist #preventivenutrition